BERITA SEMASA

Bekas isteri Najib, Tengku Puteri Zainah kritikal, dirawat di ICU

KUALA LUMPUR – Keadaan bekas isteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Gleneagles Ampang.

Perkhabaran itu dikongsikan anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datuk Mohamad Nizar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nizar menerusi hantaran berkenaan turut memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan ibunya yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon doa daripada seluruh sahabat handai, saudara-mara dan kenalan agar sama-sama mendoakan kesihatan bonda tercinta, Tengku Puteri Zainah yang kini sedang menerima rawatan di ICU.

“Keadaan bonda masih kritikal. Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan, memberikan kekuatan dan mengurniakan kesembuhan buat bonda,” katanya.

Sementara itu, akaun Facebook Najib Razak turut berkongsi hantaran sama selain menitipkan doa agar Tengku Puteri Zainah diberikan kekuatan dan kesembuhan.

“Kami mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.

“Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan, mempermudahkan urusan rawatan dan mengurniakan kesembuhan yang terbaik buat beliau,” menurut hantaran itu.

Tengku Puteri Zainah, 65, mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Najib iaitu Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.

Beliau dilaporkan sedang menerima rawatan di ICU Aras 1, Hospital Gleneagles Ampang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button