BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Titah Adendum: Keputusan Mahkamah Tinggi tidak jejas kuasa pengampunan Institusi Diraja – AGC

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak mengurangkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri dalam hal pengampunan.

Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), dakwaan kononnya keputusan mahkamah menjejaskan kuasa Institusi Diraja adalah tidak benar dan bercanggah dengan alasan penghakiman.

AGC berkata, mahkamah menegaskan kuasa pengampunan kekal sebagai prerogatif YDPA di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, namun pelaksanaannya perlu dibuat melalui Lembaga Pengampunan.

“Semasa menolak permohonan semakan kehakiman Najib, Mahkamah telah menekankan bahawa pengampunan adalah kuasa prerogatif YDPA, yang mana adalah terjamin di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana diputuskan dalam keputusan duluan Mahkamah Atasan.

“Namun begitu, perkara 42 PP juga memperuntukkan bahawa dalam menjalankan kuasa prerogatif tersebut, YDPA dan DYMM Raja-Raja Melayu serta YDPN akan bersidang bersama Lembaga Pengampunan dalam memutuskan sesuatu permohonan pengampunan,” katanya.

AGC menjelaskan, minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 menunjukkan isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan, sebaliknya hanya melibatkan pengurangan hukuman penjara dan denda sebanyak 50 peratus.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi memutuskan titah tambahan berkaitan tahanan rumah tidak dibuat mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

AGC turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat tafsiran mengelirukan yang boleh menggugat ketenteraman awam serta menghormati proses undang-undang.

“Sebarang tindakan yang cuba menghasut dan menggugat ketenteraman awam dengan tafsiran yang salah terhadap penghakiman Mahkamah adalah amat tidak wajar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button