Isu Perlembagaan dirujuk PM bukan berkait kekebalan peribadi – AGC
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan mewujudkan sebarang kekebalan mutlak bagi individu tertentu.
Menurut AGC, permohonan tersebut dibuat di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan melibatkan isu-isu baharu yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
““Sebaliknya, ia membangkitkan isu-isu Perlembagaan baharu yang belum pernah diputuskan sebelum ini, khususnya berkaitan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi eksekutif secara berkesan,” katanya menurut kenyataan hari ini.
AGC juga memaklumkan bahawa persoalan Perlembagaan yang dikemukakan adalah bersifat struktur dan berkaitan tadbir urus negara.
Termasuk isu-isu melibatkan Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi hak asasi kuasa Eksekutif serta keperluan menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi.
“Ini adalah soalan struktur mengenai tadbir urus perlembagaan, bukan soalan mengenai kekebalan peribadi,” tegasnya.
ACG berkata, proses rujukan perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad terhadap persoalan isu-isu sebegini.
“AGC menghormati integriti mekanisme perlembagaan ini dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen yang berbaur politik,” jelasnya.
Dalam pada itu, AGC menekankan bahawa segala keputusan berkaitan tafsiran dan kesan peruntukan Perlembagaan adalah di bawah bidang kuasa mutlak Mahkamah Persekutuan.
“Segala penentuan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan adalah terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan,” tambahya.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan selepas Anwar dilapor mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau kekebalan bersyarat daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















