Sejuta Aspirasi PPKI SK Olak Lempit hargai potensi murid istimewa
BANTING – Program Sejuta Aspirasi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit 2026 menjadi platform meraikan kebolehan, bakat dan potensi murid berkeperluan pendidikan khas, sekali gus memberi pengiktirafan terhadap pencapaian mereka di luar bidang akademik.

Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Whip Ahli Majlis Kuala Langat Zon 21, Nur Zairina Muzaini itu turut dihadiri Guru Besar SK Olak Lempit, Maswadi Milatusamsi, warga sekolah serta ibu bapa.
Nur Zairina berkata, kejayaan murid pendidikan khas tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira penguasaan kemahiran asas, pembentukan sahsiah terpuji dan bakat istimewa yang dimiliki setiap murid.
“Jangan ukur kejayaan mereka berdasarkan kekurangan, sebaliknya raikan setiap kemajuan, sekecil mana pun langkah yang diambil.
“Teruskan memberi peluang, sokongan dan ruang untuk mereka berkembang kerana setiap anak berhak untuk berjaya dengan cara mereka sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.
Beliau berkata, murid-murid perlu terus diberi galakan untuk belajar, berani mencuba dan tidak takut melakukan kesilapan kerana setiap usaha serta kemajuan yang dicapai merupakan satu kejayaan yang bermakna.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dapat terus diperkukuh bagi memastikan murid pendidikan khas mendapat sokongan sewajarnya dalam persekitaran pembelajaran yang penyayang dan inklusif.
Katanya, komitmen guru serta Pembantu Pengurusan Murid (PPM) juga amat penting dalam membimbing murid mengembangkan kebolehan dan potensi masing-masing.
Penganjuran program itu turut membawa mesej bahawa setiap murid berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan ruang untuk berjaya mengikut keupayaan masing-masing, selaras dengan prinsip No Child Left Behind (Tiada Murid yang Tercicir).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








