Isu pemain warisan: Penggantungan tamat, 7 pemain bebas beraksi semula
PETALING JAYA – Kesemua tujuh pemain yang sebelum ini digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kelayakan sebagai pemain warisan Malaysia yang dipertikai, dibenarkan beraksi semula dalam semua aktiviti bola sepak bermula hari ini.
Penamatan penggantungan itu terkandung dalam satu pekeliling Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertarikh 30 Oktober yang mengesahkan hukuman penggantungan terhadap pemain terlibat berakhir semalam, lapor BERNAMA.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan kandungan pekeliling itu yang turut menjadi tular di media sosial.
“Betul, sahih,” katanya ringkas.
Menurut pekeliling itu, ketujuh-tujuh pemain terlibat terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Daripada tujuh pemain itu, empat daripadanya, iaitu Figueiredo, Palmero, Irazabal dan Hevel beraksi untuk Johor Darul Ta’zim manakala Holgado pula hampir menyertai DPMM FC dari Brunei.
Isu melibatkan tujuh pemain itu terbongkar September tahun lepas, setelah FIFA mendapati dokumen palsu digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara untuk mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.
Mac lepas, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain terbabit berkaitan hukuman dikenakan oleh FIFA berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.
Bagaimanapun, larangan itu hanya terpakai bagi perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








