Setiausaha Agung FAM digantung serta-merta susulan siasatan FIFA
PETALING JAYA – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas serta-merta berkuat kuasa Jumaat susulan siasatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram mengesahkan perkara itu dalam sidang media di Wisma FAM, hari ini.
“Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut mengenai tempoh penggantungan tersebut.
Tindakan itu diambil selepas FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen bagi tujuan kelayakan pemain untuk beraksi dalam perlawanan rasmi antarabangsa.
Menurut laporan FIFA, FAM didakwa menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sebagai rekod, Noor Azman mula memegang jawatan Setiausaha Agung FAM pada 1 September 2022, menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar, sebelum dilantik semula bagi penggal 2025 hingga 2029 pada Februari lalu.
Sementara itu, FAM dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan lanjut dan proses rayuan kepada FIFA dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







