Mangsa culik ditemui selamat, enam suspek turut berjaya ditahan
KUALA LUMPUR – Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang diculik dalam tempoh kurang 48 jam selepas suspek dipercayai menuntut wang tebusan sebanyal RM7 juta bagi membebaskan mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua enam suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan turut berjaya ditahan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa pukul 1.30 pagi semalam.
Susulan laporan itu, katanya, sepasukan anggota dan pegawai daripada Cawangan Khas Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor melancarkan operasi di beberapa lokasi sekitar Selangor.
“Satu operasi dilancarkan dan pada 1 pagi tadi, pasukan serbuan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di kawasan sekitar i-City, Shah Alam, Selangor.
“Menerusi operasi sama, polis menahan enam individu, terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Tambahnya, pasukan serbuan turut merampas pelbagai jenis dadah, beberapa telefon bimbit serta beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk mendapatkan wang tebusan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 turut dijalankan ke atas semua individu yang ditangkap.
“Permohonan reman terhadap kesemua tangkapan dibenarkan selama 10 hari di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 bermula hari ini.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














