POLITIK

Pakatan Harapan utamakan politik khidmat, bukan kelantangan suara – Fahmi

AYER KEROH – Pendekatan menyantuni masyarakat menerusi khidmat dan bakti akan menjadi tumpuan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, PH tidak akan menjadikan kelantangan suara sebagai sandaran utama untuk meraih sokongan pengundi, sebaliknya mengutamakan pendekatan politik khidmat.

Katanya, pendekatan berkenaan selari dengan usaha mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang dan program menyantuni penduduk seperti dilaksanakan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.

“Kita, macam yang disebut oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution, banyak fokus kita adalah pada politik khidmat.

“Jadi, kita akan lebih menyantuni. Kita tidak akan berpaksikan kepada kelantangan suara, tetapi lebih kepada kekuatan budi dan bakti seperti yang kita boleh saksikan dalam program-program Datuk Azman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di sini, hari ini.

Baca juga : PRN Melaka: Azman guna pendekatan Ziarah Kasih dekati pengundi Paya Rumput

Mengulas kemungkinan berlaku perpecahan undi susulan penyertaan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang bertanding di 16 kerusi DUN Melaka, Fahmi berkata, PH akan terus memberi perhatian kepada persiapan dan kekuatan parti sendiri.

Menurutnya, sokongan akar umbi serta kesiapsiagaan jentera parti akan terus menjadi antara fokus utama dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Kita akan fokus kepada kekuatan kita, akar umbi, jentera dan mana-mana pihak lain yang ingin bertarung sekali, kita doakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button