Pendaftaran Seminar Percukaian Kebangsaan 2026 kini dibuka
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) membuka pendaftaran bagi Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2026 (Belanjawan 2027) yang akan dianjurkan susulan pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, seminar berkenaan akan berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom dalam dua siri, iaitu pada 14 Oktober dan 21 Oktober ini.
Katanya, pendaftaran kini dibuka menerusi portal SPK di https://heal.hasil.gov.my/.
“SPK 2026 menghimpunkan pembentang serta ahli panel berpengalaman dalam bidang percukaian daripada Kementerian Kewangan Malaysia, HASiL, Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (M.A.T.A).
“Seminar itu turut memberi tumpuan kepada perkembangan, perubahan serta isu semasa percukaian yang penting untuk diketahui pembayar cukai, pengamal percukaian, badan perakaunan dan komuniti profesional,” katanya hari ini.
Katanya, antara topik utama yang akan dibincangkan ialah Cadangan Belanjawan 2027, termasuk perkembangan serta cadangan dasar percukaian yang dijangka memberi kesan kepada ekosistem percukaian dan pembayar cukai.
Selain itu katanya, peserta turut akan diberi penerangan mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois, khususnya perkembangan dan pelaksanaannya dalam usaha memperkukuh pematuhan percukaian.
“Turut dibincangkan ialah topik Duti Setem: Kenal Pasti Instrumen, Tentukan Duti Dengan Betul yang memberi panduan berkaitan pengenalpastian instrumen serta penentuan duti setem secara tepat.
“Penganjuran SPK 2026 memberi peluang kepada orang ramai, khususnya pengamal percukaian, badan perakaunan, golongan profesional serta pembayar cukai mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan dasar dan perundangan percukaian susulan Pembentangan Belanjawan 2027,” katanya.
Dalam pada itu katanya, majikan yang berdaftar dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) turut boleh menuntut kos latihan peserta SPK 2026, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Katanya, majikan berdaftar yang berminat hanya perlu memilih pilihan ‘Non-Registered Training Provider Details – Government’ di bawah Skim Bantuan Latihan (SBL) ketika membuat permohonan geran latihan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








