BERITA SEMASA

Pasaran buruh negara kekal berdaya tahan – Menteri Ekonomi

PUTRAJAYA – Pasaran buruh negara kekal berdaya tahan dengan kadar pengangguran stabil pada 3.0 peratus meskipun seramai 68,177 pekerja kehilangan pekerjaan bagi tempoh Januari hingga 16 September lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.37 juta orang setakat Julai lalu, manakala jumlah penduduk bekerja turut bertambah kepada 16.85 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, manakala kadar pengangguran 3.0 peratus melibatkan 520,300 penganggur.

“Ini menunjukkan keadaan pasaran buruh secara keseluruhannya masih berada pada tahap stabil,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Akmal berkata, kerajaan kekal berwaspada terhadap tekanan yang dihadapi sektor tertentu susulan peningkatan jumlah kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, seramai 68,177 pekerja kehilangan pekerjaan dalam tempoh berkenaan, meningkat 15,196 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit antara sektor yang paling terjejas.

Dalam pada itu, katanya, menerusi Sistem Insurans Pekerjaan dan portal MYFutureJobs, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan penempatan semula pekerjaan kepada 143,653 pekerja bagi tempoh Januari hingga 11 September lalu.

“Ini menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara berkembang sekitar lima peratus tahun ini, manakala inflasi keseluruhan dijangka berada dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus.

“Unjuran itu menunjukkan asas ekonomi negara masih berdaya tahan walaupun ketidaktentuan luaran kekal tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button