Kapal bawa 243 penumpang, kru hilang di Laut Jawa
JAKARTA – Sebuah kapal penumpang, Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang di Laut Jawa, awal pagi tadi ketika dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banjarmasin, I Putu Sudayana berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kapal itu pada 4.10 pagi selepas hubungan komunikasi terputus kira-kira pukul 2 pagi ketika kawasan berkenaan dilanda cuaca buruk.
Menurutnya, pasukan SAR segera mengerahkan anggota dan sebuah kapal pencarian ke arah anggaran kedudukan terakhir Virgo Transport 8.
“Kami menerima laporan mengenai kehilangan hubungan dengan kapal itu dan segera mengerahkan anggota serta sebuah kapal pencarian ke arah anggaran posisi terakhirnya,” katanya memetik laporan Bernama.
Putu berkata, kapal berkenaan berlepas dari Surabaya pada Sabtu dan kali terakhir dikesan kira-kira 80 batu nautika dari pangkalan SAR Banjarmasin.
Beliau berkata, operasi pencarian kini melibatkan sebuah helikopter dan dua kapal penyelamat bagi mengesan kapal terbabit serta kesemua individu yang berada di dalamnya.
Usaha berkenaan turut diselaraskan bersama tentera dan polis Indonesia, pihak berkuasa Pelabuhan Banjarmasin serta ejen tempatan kapal terbabit.
Dalam pada itu, Putu menggesa keluarga penumpang dan anak kapal serta orang ramai supaya bertenang dan mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi.
Katanya, keadaan cuaca di kawasan pencarian terus dipantau bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
