Tolak ideologi pecah belah masyarakat – Anwar
PERMATANG PAUH – Generasi muda digesa supaya menolak ideologi yang memecah belahkan masyarakat kerana ia hanya akan melemahkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak mungkin mampu muncul sebagai sebuah negara hebat jika rakyat khususnya anak muda masih terperangkap dengan pemikiran lapuk yang menghasut kebencian antara kaum.
Beliau kemudiannya turut menyeru generasi muda supaya bangkit sebagai satu pasukan untuk bersama-sama membina Malaysia yang lebih maju dan berjaya.
“Kita mahu anak-anak muda bangkit sebagai satu pasukan besar membawa perubahan dan mengangkat martabat semua rakyat Malaysia.
“Malaysia tidak mungkin menjadi negara hebat dan maju jika kita masih terperangkap dengan pemikiran lama yang menanam kebencian antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.
Menurut Anwar, generasi muda perlu mencapai prestasi lebih baik daripada generasi terdahulu menerusi pencapaian dalam pendidikan, pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi.
Katanya, hasrat itu menjadi antara fokus utama kerajaan menerusi pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta pendapatan rakyat.
Anwar turut berkata, kerajaan tidak mempunyai penyelesaian segera bagi setiap isu yang dihadapi, namun menegaskan pihaknya komited untuk mencapai kemajuan menerusi kerjasama semua pihak.
“Saya tidak berada di sini untuk mengatakan bahawa kita mempunyai jawapan kepada semua persoalan. Saya juga tidak berada di sini untuk mengatakan bahawa kita mampu menyelesaikan segala-galanya dalam sekelip mata.
“Tetapi saya berada di sini untuk mengatakan bahawa kita boleh memulakannya, dan kita mempunyai sifat rendah diri untuk mengakui bahawa kita boleh melakukan dengan lebih baik, dan kita akan menjadi lebih baik apabila kita bekerjasama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















