Ancaman baharu ASEAN tidak boleh ditangani dengan pendekatan lama
KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan ancaman keselamatan baharu ASEAN yang semakin kompleks dan saling berkait memerlukan pendekatan lebih proaktif, kesiapsiagaan kolektif serta penyelarasan serantau yang lebih kukuh, berbanding bergantung kepada kaedah lama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ASEAN perlu meningkatkan keupayaan menghadapi krisis dan bencana bagi memastikan negara anggota mampu bertindak pantas serta berkesan ketika berdepan ancaman yang semakin sukar dijangka.
“Ketika ADMM memasuki dekad ketiga, kita perlu bersedia untuk melakukan lebih daripada sekadar menghadapi ancaman baharu dengan pendekatan lama,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.
Beliau berkata, ancaman yang dihadapi ASEAN ketika ini semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan lebih besar, manakala ancaman bukan tradisional bukan lagi kemungkinan yang jauh, sebaliknya semakin nyata dan berulang.
Menurutnya, usaha memperkukuh ketahanan serantau perlu bermula dengan rakyat melalui inisiatif yang lebih proaktif dan terselaras bagi meningkatkan keupayaan masyarakat membuat persediaan, menghadapi serta pulih daripada kejutan dan krisis.
“Tiada negara anggota ASEAN, tanpa mengira sumber dan keupayaan yang dimilikinya, mampu menangani cabaran ini sepenuhnya secara bersendirian,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, ASEAN perlu membangunkan keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, terselaras dan berkesan, selain memperkukuh keupayaan tempatan serta serantau.
Beliau berkata, ASEAN sudah mempunyai mekanisme penting menerusi Kumpulan Siap Siaga Tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (AMRG on HADR) yang menyediakan kerangka penyelarasan bantuan ketenteraan serta memudah cara penempatan aset ketenteraan ke kawasan dilanda bencana.
Katanya, pengalaman tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar tahun lalu membuktikan kepentingan kerjasama tersebut, namun usaha perlu diteruskan untuk meningkatkan kesiapsiagaan operasi, memperkemas penyelarasan dan mempercepat tindakan ketika bencana berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata, perpaduan ASEAN turut diuji oleh persaingan strategik yang semakin sengit, ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan yang berkembang pantas.
Menurutnya, masa depan rantau ini tidak dapat dijamin oleh mana-mana negara anggota yang bertindak secara bersendirian, sebaliknya bergantung pada kepercayaan sesama anggota, kesediaan mengurus perbezaan secara membina serta komitmen mempertahankan kepentingan serantau.
Sementara itu, sempena ulang tahun ke-20 ADMM, beliau berkata platform itu telah berkembang menjadi mekanisme praktikal bagi kerjasama pertahanan, pembinaan keyakinan dan tindak balas kolektif terhadap cabaran keselamatan bersama.
Justeru, beliau menegaskan ASEAN memerlukan kesiapsiagaan kolektif yang lebih tinggi, penyelarasan lebih kukuh dan pelaburan berterusan dalam keupayaan yang memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
“Ukuran sebenar kejayaan ADMM bukan sekadar kerjasama yang telah kita wujudkan, tetapi juga tahap keselamatan dan ketahanan yang terhasil daripada kerjasama tersebut,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh ADMM, mempertahankan prinsip Sentraliti ASEAN serta membina komuniti serantau yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Beliau berharap ASEAN yang diwariskan kepada generasi akan datang menjadi lebih kukuh, bersatu dari segi matlamat dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








