Warga Bangladesh tidak mengaku salah cuba rasuah pegawai polis marin
JOHOR BAHRU – Seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini semalam atas pertuduhan menawarkan dan memberikan rasuah RM750 kepada seorang pegawai polis marin.
Tertuduh, Shamim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang operator kilang, didakwa melakukan perbuatan itu 21 Oktober lalu sebagai dorongan supaya Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap rakannya yang disyaki memiliki minuman keras tidak bercukai.
Kesalahan itu berkaitan pemilikan minuman keras tidak bercukai mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 secara cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warga Malaysia yang juga majikannya.
Tertuduh turut diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tertuduh menjelaskan wang jaminan berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Penguasa Kanan Alice Voon manakala tertuduh diwakili peguam Nur Helmi A Halim daripada firma guaman Helmi Halim & Co.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








