Kemelut MCA-BN selesai, kata Ab Rauf
KUALA LUMPUR – Kemelut pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai selepas rundingan antara kedua-dua pihak mencapai penyelesaian.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan perkara itu ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
“Dah selesai, apa pula tidak selesai,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan isu berkenaan.
Beliau hadir ke lokasi itu bagi menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Calon BN yang akan bertanding pada PRN Melaka.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau serta calon DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Sebelum iti, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perbincangan khas bersama kepimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi berakhir dengan perkembangan positif.
Perbincangan itu membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ab Rauf.
Isu berkenaan tercetus selepas MCA menyatakan bantahan terhadap tindakan mengumumkan calon BN tanpa rundingan dan persetujuan kepimpinan tertinggi parti itu.
Presiden MCA sebelum itu turut mendakwa kerusi yang lazimnya ditandingi parti berkenaan diberikan kepada parti lain, sekali gus menimbulkan ketegangan dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








