PRN Johor: Anwar janji selesai isu air, naik taraf klinik di Rengit
BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk memberi perhatian segera terhadap masalah kemudahan asas dan infrastruktur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat mentadbir Johor.
Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk ialah masalah bekalan air serta keadaan klinik kesihatan yang uzur dan memerlukan penambahbaikan segera.
Anwar turut meluahkan rasa hairan apabila masih terdapat kawasan di Johor yang berdepan masalah bekalan air walaupun negeri itu antara yang mempunyai kedudukan ekonomi kukuh.
“Tak ada air? Johor negeri kaya, air tak ada ke? Malu juga kalau negeri yang kaya tetapi rakyat masih berdepan masalah bekalan air,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale DUN Rengit sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada hari ini.
Menurut beliau, kemudahan kesihatan yang daif turut tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat berhak mendapat perkhidmatan kesihatan yang selesa dan berkualiti.
“Klinik uzur? Macam mana nak berubat orang? Klinik sepatutnya merawat orang yang sakit, bukannya klinik itu sendiri berada dalam keadaan uzur,” katanya lagi.
Anwar berkata, masalah berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur perlu diselesaikan melalui pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau menyeru pengundi di Rengit dan seluruh Johor supaya memberikan sokongan kepada PH bagi membolehkan pelbagai isu yang membelenggu rakyat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan dakwaan wujud pihak tertentu yang mengugut tok batin dan ketua masyarakat supaya tidak menghadiri program yang dihadirinya.
Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Saya mahu tahu siapa yang mengugut mereka. Tidak sepatutnya ada pihak yang cuba menghalang atau menakut-nakutkan pemimpin masyarakat hanya kerana mahu menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya lagi.
Menurut beliau, kehadirannya ke kawasan berkenaan juga bertujuan mendengar sendiri masalah yang dihadapi masyarakat setempat termasuk komuniti Orang Asli agar bantuan dan pembangunan dapat disalurkan secara lebih berkesan.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan serta pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















