BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: BN buat kejutan pilih Alwiyah calon DUN Endau

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) membuat kejutan apabila mempertaruhkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRN Johor yang berlangsung di Pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.

Pemilihan Alwiyah dilihat menarik perhatian ramai memandangkan beliau baru sahaja kembali menyertai UMNO pada 4 Jun lalu selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Alwiyah yang ketika itu merupakan Ketua BERSATU Bahagian Mersing mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada kelangsungan serta masa depan masyarakat di kawasan berkenaan selain memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk DUN Endau.

Beliau dilaporkan menegaskan bahawa keputusan meninggalkan BERSATU dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket BN mewakili UMNO pada PRN Johor 2018 sebelum mengambil keputusan menyertai BERSATU bulan Mei tahun yang sama.

Pada PRN Johor 2022, beliau sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Malah, pada 10 Mac lalu, Alwiyah dilantik sebagai Ketua BERSATU Bahagian Mersing sebelum mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan kurang tiga bulan kemudian.

Dengan pencalonan semula Alwiyah oleh BN, kerusi DUN Endau dijangka menjadi antara tumpuan pada PRN kali ini memandangkan kawasan berkenaan sebelum ini dianggap sebagai antara kubu kuat PN di daerah Mersing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button