BERITA SEMASA

‘Tiada pimpinan mereka yang berani berdebat, KJ pun tak berani’ – Amirudin Shari

JOHOR BAHRU – Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa tiada pemimpin Barisan Nasional (BN) berani tampil berdebat atau berdialog berhubung tawaran serta hala tuju pembangunan Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Amirudin berkata, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang disifatkannya baru kembali menyertai UMNO, turut didakwa tidak berani menyahut cabaran berdebat.

“Tak ada pimpinan mereka yang berani datang untuk berdebat. Dialog pun tak berani. KJ yang baru masuk semula pun tak berani.

“Pergi baliklah! Datang ke sini, masuk balik nak jadi hero. Orang Johor ajar kesombongan ini, undi Pakatan Harapan (PH) pada 11 hari bulan,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, PH bukan sekadar membentangkan pelan ekonomi untuk Johor, malah turut memberi tumpuan kepada aspek pengagihan yang adil, pembangunan rumah serta penyelesaian masalah rakyat.

Menurutnya, Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi pesaing kepada Singapura sekiranya negeri itu digilap dan diurus dengan lebih teratur.

“Merencana dan merancang bekalan untuk orang-orang Singapura datang pada hujung minggu. Tetapi Johor kalau digilap dengan lebih baik, diurus dengan lebih teratur, insyaAllah Johor akan menjadi pesaing Singapura.

“Saya sebutkan gambaran bahawa Johor ini seperti Shenzhen of Southeast Asia. Shenzhen kepada rantau Asia Tenggara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa cadangan serta gambaran baharu yang dibawa PH berhubung masa depan Johor hanya dibalas dengan pendekatan meniru oleh Barisan Nasional (BN).

“Malangnya, bila kita keluarkan pandangan-pandangan seperti ini, memberikan imajinasi baru, harapan baru kepada orang Johor. Orang Johor semangat.

“Apa jawapan Barisan Nasional? Ini copy paste. Ini cuma curi. Tak semestinya bentang dulu itu jauh lebih baik,” katanya.

Amirudin turut mendakwa PH berkemampuan membawa Johor ke tahap lebih baik berbanding sejarah pentadbiran UMNO dan BN.
“Sebab itu sampai ke sudah, tak ada pimpinan mereka yang berani datang untuk berdebat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Johor kini berada di kedudukan kesembilan dari segi pendapatan per kapita.

Katanya, terdapat lima kawasan dan wilayah yang telah diisytiharkan sebagai negeri atau wilayah berpendapatan tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button