‘Dr Maszlee patut berdebat dengan calon lain di DUN Puteri Wangsa’ = Onn Hafiz
BATU PAHAT – Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada keperluan untuk beliau berdebat dengan Dr Maszlee Malik kerana mereka berdua bertanding di kerusi berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Onn Hafiz berkata, jika Maszlee mahu berdebat, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu sepatutnya berdebat dengan calon lawannya di kerusi yang sama.
“Saya bukan bertanding menentangnya.
“Jadi jika dia mahu berdebat atau mengadakan dialog, dia patut lakukan dengan calon-calon di sana (Puteri Wangsa).
“Apa kaitannya dengan kawasan saya?” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kasi On Bersama Menteri Besar Johor di Semerah, di sini hari ini.
Onn Hafiz memberi reaksi sedemikian ketika diminta mengulas cadangan supaya beliau dan Dr Maszlee mengadakan dialog selepas bekas Menteri Pendidikan itu menyatakan kesediaan menerima pelawaan untuk berdebat menjelang PRN Johor.
Pada PRN kali ini, Onn Hafiz akan mempertahankan kerusi DUN Machap yang dimenanginya pada PRN sebelum ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz mendakwa. pengundi di kawasan Parlimen Simpang Renggam masih menunggu Dr Maszlee menunaikan janji yang dibuat ketika beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Beliau berkata, antara janji yang masih sering dibangkitkan penduduk ialah komitmen Dr Maszlee untuk menghapuskan tol, namun sehingga kini dakwanya ia masih belum ditunaikan.
“Pada masa sama, rakyat Simpang Renggam masih bertanya mengenai janji-janjinya. Beliau berjanji perjalanan tanpa tol, tetapi sehingga hari ini janji itu masih belum ditunaikan,” katanya.
Sebelum ini, Maszlee menerima pelawaan untuk berdebat dengan Onn Hafiz dan menyifatkannya sebagai peluang mendidik masyarakat serta menggalakkan budaya politik yang lebih matang.
Bagaimanapun, pasukan Onn Hafiz kemudian memaklumkan penyandang DUN Machap itu tidak dapat menghadiri dialog berkenaan kerana mempunyai komitmen yang telah dijadualkan lebih awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















