BERITA SEMASA

PRN Johor: SPR terima 305 aduan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 305 aduan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, setakat semalam.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daripada jumlah itu, kesalahan paling banyak dikesan ialah pemasangan bahan kempen di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu 140 kes.

“Ini diikuti pemasangan bahan kempen yang menghalang pandangan pengguna jalan raya dan lalu lintas sebanyak 90 kes, kempen yang didapati berada dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi sebanyak 27 kes.

“Sebanyak 48 lagi membabitkan kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu , hari ini.

Beliau turut memaklumkan, SPR menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen PRN Johor serta menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen.

“Tempoh berkempen bermula selepas Hari Penamaan Calon pada 27 Jun lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 10 Julai ini seperti yang ditetapkan SPR.

“SPR sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan aktiviti berkempen berjalan dalam keadaan baik serta terkawal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tatacara, etika serta arahan yang dikeluarkan SPR dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan kempen pilihan raya berlangsung dengan lancar.

“SPR amat komited melaksanakan pilihan raya yang cekap, adil, telus dan berintegriti, termasuk sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, dengan pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button