Pemilik Rocky turut didakwa di mahkamah hari ini
KLANG – Seorang wanita yang dipercayai pemilik anjing bernama Rocky akan turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, susulan insiden kekecohan ketika operasi penangkapan anjing liar berkenaan.
Wanita berusia 40-an itu dipercayai berdepan beberapa pertuduhan yang akan dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Sumber mengesahkan wanita berkenaan adalah antara individu yang akan dituduh hari ini.
“Ya, betul,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap wanita berkenaan dan seorang lelaki, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dijadualkan dibacakan pada pukul 9 pagi di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Wanita terbabit turut berdepan pertuduhan lain di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, jenis pertuduhan, seksyen dan akta yang digunakan belum dapat dipastikan sehingga ia dibacakan di mahkamah.
Sebelum ini, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Muhammad Shah Idham mengesahkan anak guam mereka akan hadir ke mahkamah pada 20 Ogos.
Muhammad Shah Idham sebelum ini menjadi sasaran kecaman netizen selepas video yang mendakwa dia bertindak kejam terhadap Rocky sehingga menyebabkan kematian haiwan itu di Taman Telok Gedong Indah, di sini, pada 29 Julai lalu tular di media sosial.
Muhammad Shah Idham yang bekerja sebagai penghantar barang dilaporkan terkejut selepas menerima waran untuk menjawab pertuduhan, dipercayai di bawah Akta Kebajikan Haiwan.
Dia turut menegaskan isu kematian Rocky tidak seharusnya dikaitkan dengan sentimen perkauman kerana hubungan antara penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan kekal baik.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berkaitan kes kematian Rocky di mahkamah.
Beliau berkata, masyarakat perlu memberi kepercayaan dan ruang kepada pihak berkuasa serta membiarkan proses perundangan berjalan selepas siasatan berhubung kes berkenaan selesai dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
