Kehadiran warga asing di JPN bukan bukti urusan MyKad
PUTRAJAYA – Kehadiran individu warga asing di premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak semestinya bermaksud mereka sedang memohon atau bakal diberikan kad pengenalan Malaysia.
Menurut JPN dalam kenyataan menjelaskan, pihaknya mengambil maklum hantaran yang tular di media sosial yang memaparkan kehadiran individu warga asing di premis agensi itu dan mengaitkannya dengan urusan membuat MyKad.
“Terdapat pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang disediakan kepada individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu tular gambar dipercayai warga asing sedang menunggu untuk di pejabat sebuah agensi kerajaan.
Pemilik hantaran tersebut mendakwa warga asing itu yang merupakan warga Rohingya hadir ke pejabat JPN untuk membuat kad pengenalan tanpa memeriksa kesahihan tuduhan tersebut.
Dalam pada itu JPN turut mengingatkan bahawa isu sama pernah diberikan penjelasan pada Jun lalu, khususnya berkaitan kekeliruan yang mengaitkan pendaftaran kelahiran individu bukan warganegara dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia.
Agensi itu menjelaskan, sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia dan bukan bukti seseorang itu merupakan warganegara Malaysia.
Sijil berkenaan turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
JPN berkata, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan.
“Pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
“Selain pendaftaran kelahiran, terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang melibatkan bukan warganegara, termasuk urusan perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara,” katanya.
Sehubungan itu, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di premis JPN atau sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan.
Orang ramai turut diseru supaya menilai sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan penjelasan rasmi, bukannya membuat andaian berdasarkan persepsi daripada gambar atau rakaman video yang tidak jelas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








