Imigresen Kelantan siasat kad UNHCR palsu milik tiga lelaki Rohingya
KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan memulakan siasatan berhubung penemuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disyaki palsu dimiliki tiga lelaki Rohingya, Jumaat lalu.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, siasatan itu adalah bagi mengenal pasti sumber kad berkenaan serta sama ada ia dihasilkan atau dibekalkan oleh sindiket tertentu.
“Tiga lelaki Rohingya itu adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam Op Mega, operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kota Bharu, Jumaat lalu.
“Daripada jumlah itu, hanya 10 individu direman bagi membantu siasatan. Sebaik siasatan selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut termasuk keputusan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya,” katanya.
Garry menambah, kad UNHCR yang disyaki palsu itu dirampas daripada tiga lelaki Rohingya terbabit selepas pemeriksaan mendapati terdapat percanggahan antara maklumat yang tertera pada kad dengan ciri fizikal pemegangnya.
Dalam operasi pada Jumaat lalu, seramai 362 warga asing dari Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Thailand diperiksa.
Hasil pemeriksaan, seramai 20 lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















