Nahas bas bawa pelajar UPSI, pemandu diminta tidak beri kenyataan awam
IPOH – Pemandu bas sewa yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Jeli-Gerik kelmarin, diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ini adalah bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan dan mencetuskan spekulasi tidak wajar.
“Sebarang kenyataan awal boleh membawa kepada spekulasi yang tidak wajar. Kami bimbang sebarang kenyataan atau penjelasan yang diberikannya boleh mengganggu siasatan. Itulah istilahnya, mengganggu siasatan.
“Jadi, lebih baik dia tunggu sehingga siasatan selesai kerana jika tidak, ia mungkin mencetuskan lebih banyak spekulasi dan pastinya akan mengganggu siasatan,” katanya.
Noor Hisam berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Laporan media semalam menyebut, pemandu yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping, tampil menceritakan situasi kemalangan tersebut.
Noor Hisam berkata, pihaknya hanya boleh menasihati pemandu itu daripada membuat sebarang kenyataan sehingga polis merekodkan kenyataannya secara rasmi.
“Selepas itu, dia boleh kata apa sahaja kerana terdapat banyak sudut dalam siasatan ini.
“Polis sentiasa berhubung dengan hospital dan pegawai penyiasat kami. Sebagai contoh, pagi ini pegawai kami ke Hospital Taiping untuk memeriksa perkembangan pesakit.
“Kami mendapatkan pandangan hospital mengenai keadaannya dan bila dia mungkin dibenarkan keluar. Sebaik sahaja kami terima maklumat itu, kami akan kongsi kepada media,” katanya.
Mengenai siasatan kemalangan berkenaan, Noor Hisam berkata, pasukan penyiasat perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk terhadap bas itu sendiri, pengendali, keadaan jalan, dan pelbagai lagi faktor.
“Ia sangat teknikal, jadi lebih baik pihak berkuasa menjalankan tugas daripada membuat kesimpulan terlalu awal dan spekulasi.
“Hasil siasatan akan diumumkan sebaik sahaja tersedia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













