PDRM rakam keterangan Siti Mastura Isnin ini
KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, pada minggu depan.
Laporan BH Online menyebut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai berkata, proses rakam keterangan ke atas Siti Mastura dijadualkan pada Isnin.
“Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis berhubung isu ini dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
“Keterangan Dr Siti Mastura akan diambil pada 13 November 2023 (Isnin),” katanya dalam laporan BH Online tersebut, hari ini.
Beliau berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siti Mastura didakwa membuat kenyataan sedemikian dalam satu majlis di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.
Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Siti Mastura mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Beliau turut mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, kelmarin tampil membuat satu laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini, berhubung perkara itu.
Sementara itu, Guan Eng dalam satu kenyataan semalam berkata, beliau melalui peguamnya sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas tempoh 48 jam yang diberikan kepada Siti Mastura membuktikan dakwaannya itu tamat, kelmarin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











