JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zara Qairina: Pasukan khas Bukit Aman ambil alih siasatan

KUALA LUMPUR – Siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diambil alih sepenuhnya oleh pasukan khas dari Bukit Aman.

Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam satu kenyataan berkata, pasukan yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu sudah dihantar ke Sabah.

BACA JUGA:
Menteri Pendidikan tidak perlu defensif dalam isu kematian Zara Qairina – Nik Nazmi
Kes Zara Qairina: KPM nafi lindungi sesiapa
Tahlil, doa untuk Allahyarham Zara Qairina
Proses bedah siasat Zara Qairina dilaksana secara telus – Peguam

“Penghantaran pasukan petugas khas ini adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

“PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa.

“Sehubungan itu, PDRM menyeru semua pihak supaya memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap kes Zara Qairina akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur dan mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar memantau sendiri kes berkenaan.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya pada pukul 4 pagi dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1), Kota Kinabalu namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.

Sabtu lepas, kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan satu bedah siasat dilaksanakan ke atas jenazahnya.

Proses bedah siasat itu dilakukan di HQE1 berlangsung selama lapan jam.

Selesai prosedur tersebut, jenazah kemudian dibawa kembali ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi untuk dikebumikan semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button