BERITA SEMASA

Menteri Pendidikan tidak perlu defensif dalam isu kematian Zara Qairina – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen hari ini menasihati Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak terlalu defensif dalam isu kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah penting untuk kerajaan menunjukkan kepada masyarakat bahawa isu ini diberi perhatian serius.

BACA JUGA:
Kes Zara Qairina: KPM nafi lindungi sesiapa
Tahlil, doa untuk Allahyarham Zara Qairina
Proses bedah siasat Zara Qairina dilaksana secara telus – Peguam

“Sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan komitmen untuk siasatan adil dan telus.

“Saya berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak perlu defensif dalam perkara ini kerana ia adalah soal asas iaitu soal keselamatan anak-anak kita di sekolah.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa yang membuat spekulasi, sebaliknya yang penting adalah kita menunjukkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan serius dan tidak memperkecilkan kebimbangan disuarakan oleh masyarakat di luar sana,” katanya.

Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian ketika membangkitkan isu buli dalam perbahasan mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menambah, isu buli kini mendapat satu perhatian yang sangat luas.

“Jika perlu ada satu anjakan dalam sistem pendidikan, maka kita perlu lakukan untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin.

“Soal kemenjadian murid, soal pencapaian mereka dalam pendidikan, tidak akan menjadi tumpuan kalau soal keselamatan pelajar pun tidak dapat kita jamin,” katanya.

Allahyarham Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya pada pukul 4 pagi dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1), Kota Kinabalu namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button