MINDEF nafi pembabitan bina kilang helikopter di Melaka
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menafikan pembabitan dalam sebarang proses pembinaan kilang pemasangan helikopter AW149 oleh pengeluar, Leonardo dari Itali di Melaka.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, pembinaan kilang yang dicadang di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam itu sebaliknya membabitkan kerjasama antara syarikat swasta yang berkaitan dengan kerajaan negeri Melaka.
“Perkara itu adalah lanjutan daripada perbincangan tiga hala antara kerajaan negeri Melaka, syarikat pengeluar helikopter Leonardo dan Syarikat Weststar Aviation Sdn Bhd.
“Ia selaras dengan Perjanjian Konsesi Pajakan 28 Unit Helikopter Untuk Kegunaan Agensi Kerajaan di mana syarikat bertanggungjawab membangunkan kilang pemasangan helikopter itu,” katanya menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhammad Fawwaz meminta menteri pertahanan menyatakan sama ada kementerian akan menilai semula pemilikan kilang pemasangan helikopter AW149.
Mengulas lanjut, Adly berkata, MINDEF merancang membuat perolehan sebanyak 136 buah kenderaan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) Tarantula buatan Syarikat Mildef.
Beliau berkata, ia berdasarkan keperluan pihak Tentera Darat Malaysia selaku pengguna akhir yang akan digunakan untuk Kor Armor Diraja (KAD).
“Perolehan ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta menteri pertahanan menyatakan mengenai perancangan Tentera Darat Malaysia untuk melupuskan 20 buah kenderaan Lipan Bara buatan Chaiseri dari Thailand mengambil kira perolehan terkini kenderaan 4×4 Tarantula.
Adly berkata, Tentera Darat Malaysia tidak berhasrat untuk melupuskan 20 buah kenderaan Lipan Bara buatan Chaiseri, Thailand, memandangkan ia masih diguna pakai oleh pasukan 5 KAD di Kota Belud, Sabah membabitkan 14 buah, dan juga Pusat Latihan Armor (PULAMOR) di Port Dickson, Negeri Sembilan (enam).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








