BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiada perlindungan salah laku, KDN serah kuasa penuh kepada AKPS ambil tindakan tegas

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kuasa sepenuhnya kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melanggar prinsip etika dan integriti dalam melaksanakan tugas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan terhadap 29 pegawai dan kakitangan AKPS yang sebelum ini ditahan atas dakwaan terbabit dalam rasuah serta penyalahgunaan kuasa membuktikan tiada sebarang usaha menutup salah laku dalam agensi berkenaan.

“Ini maksudnya kita tiada kompromi. Lainlah jika berlaku, kita pendam dan tidak hebah untuk jaga nama baik namun hakikatnya tidak. Saya sikit pun tiada rasa curiga terhadap keupayaan dan kepemimpinan AKPS dalam memastikan tidak boleh ada pelanggaran itu.

“Jika ada tindakan, mereka maklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM buat intipan, penguatkuasaan, tangkap, jika perlu buat sidang media silakan dan jika babitkan Jabatan Imigresen dan sebagainya, jalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai tindakan diambil terhadap 29 pegawai dan kakitangan AKPS yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk aktiviti ‘counter setting’ antara Januari hingga September tahun lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi memastikan pegawai dan kakitangan sentiasa berintegriti dalam melaksanakan tugas, kerjasama strategik dijalin bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Tiada kompromi langsung. Jika ada keperluan untuk laksana Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tata Tertib 1993, termasuk hukuman buang kerja.

“Kalau siasatan dibuat, buka kertas siasatan. Jika perlu berakhir dengan pertuduhan, silakan. Usia AKPS baru setahun tapi sudah meletakkan asas bahawa tiada tolak ansur dalam perlanggaran tata tertib dan integriti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button