PADU dilengkapi teknologi kriptografi, tahap keselamatan sentiasa dipertingkat – Rafizi
KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi jaminan terhadap tahap keselamatan Pangkalan Data Utama (PADU) yang sentiasa dipertingkatkan.
Menurut Rafizi, PADU menggunakan teknologi kriptografi yang selamat melalui algoritma yang tersenarai di bawah senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara (AKSA MySEAL), sekali gus menjamin tahap keselamatan sistem itu.
Rafizi menjelaskan, pembangunan sistem PADU mengambil kira kaedah penyulitan data dan sistem operasi yang selamat.
“Kerjasama rapat turut dijalankan dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara seperti Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Agensi Keselamatan Siber Negara dan CyberSecurity Malaysia dalam memastikan keampuhan keselamatan sistem PADU.
“Keselamatan sistem PADU adalah satu keutamaan dan sentiasa dipertingkatkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) yang ingin mengetahui langkah penambahbaikan diambil membabitkan beberapa perubahan dalam sistem yang disyorkan kerajaan Sarawak.
Tambah Rafizi, tiga komponen utama dalam PADU yang diberi tumpuan adalah keselamatan data, sistem dan juga rangkaian.
Katanya, penambahbaikan tahap keselamatan PADU sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa antaranya ‘Multi Factor Authentication’ (MFA) dan pengintegrasian PADU bersama MyDigital ID.
“Usaha penambahbaikan ini akan meningkatkan lagi tahap keselamatan sistem PADU dan menambahkan keyakinan rakyat terhadap sistem ini,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, terdapat dua dasar sedia ada mengenai perkongsian data iaitu Dasar Perkongsian Data Nasional dan Dasar Perkongsian Data Sektor Awam serta dua platform perkongsian data yang disediakan kerajaan.
Beliau berkata, ia membabitkan Malaysian Government Central Data Exchange (MyGDX) dan Data Terbuka Sektor Awam.
“Penggubalan Akta Omnibus-Perkongsian Data Sektor Awam akan menjadi punca kuasa dalam konteks perundangan yang akan membolehkan perkongsian data dapat dilaksanakan.
“Akta ini akan membantu meningkatkan keberkesanan perkongsian data termasuk penggunaan data PADU dan seterusnya membantu kerajaan merangka dasar dan inisiatif yang lebih efektif berpandukan data,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








