JWP sasar pembinaan 80,000 rumah mampu milik menjelang 2028
KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh 10 tahun, mulai 2018 hingga 2028 menerusi Program Residensi MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif tersebut memfokuskan golongan berpendapatan sederhana rendah dan ke bawah atau B40.
Jelasnya, harga jualan bagi Residensi MADANI ditetapkan di antara RM150,000 hingga RM200,000 seunit, mengikut saiz rumah iaitu di antara 700 persegi kaki per segi (kps) hingga 800 kps.
Selain itu, katanya, Program Residensi Wilayah, memfokuskan golongan berpendapatan sederhana atau M40 dengan harga jualan Residensi Wilayah ditetapkan tidak melebihi RM300,000 seunit bagi keluasan minimum 800 kps.
“Menerusi program seperti Residensi MADANI dan Residensi Wilayah, rakyat berpendapatan sederhana dan rendah berpeluang memiliki rumah dengan harga berpatutan, berbanding nilai pasaran bagi projek perumahan swasta yang jauh lebih tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, kerajaan ketika ini belum bercadang untuk mengenakan sekatan moratorium ke atas projek perumahan di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, kerangka perancangan pembangunan di Kuala Lumpur tertakluk kepada pelan pembangunan iaitu Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Beliau berkata, PSKL2040 mengunjurkan keperluan kediaman menjelang 2040 berjumlah 762,500 unit, selaras unjuran 2.35 juta penduduk dan menetapkan sasaran 40 peratus atau 305,000 unit rumah mampu milik (RMM) daripada keseluruhan unit perumahan menjelang 2040.
“Sasaran itu bagi memenuhi keperluan golongan B40 dan sebahagian M40 mencapai matlamat ‘satu rumah, satu isi rumah’, selaras Dasar Perumahan Negara, selain mengambi lkira keperluan pelbagai golongan masyarakat, antaranya warga emas dan belia,” katanya.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai rancangan menangani cadangan moratorium projek perumahan di Kuala Lumpur serta peranan kerajaan meringankan beban pembeli rumah dalam kalangan generasi muda bagi mendapatkan rumah pertama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








