LKAN 3: Maritim Malaysia belanja lebih RM300 juta untuk kapal usia 11 hingga 30 tahun ke atas
KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dikenal pasti membelanjakan sebanyak RM229.93 juta bagi kapal berusia melebihi 30 tahun dan RM78 juta untuk bot berusia antara 11 hingga 20 tahun, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025.
Menurut laporan berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, kebergantungan terhadap aset usang itu berisiko dari segi fungsi dan kos penyelenggaraan.
Selain itu, pelaksanaan kerja refit secara berfasa tanpa perancangan menyeluruh turut menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM8.88 juta, manakala denda lewat berjumlah RM2.27 juta masih belum dikutip daripada syarikat yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual.
LKAN turut mendedahkan kelemahan kawalan pembayaran apabila terdapat tuntutan bernilai RM32.34 juta tanpa invois pembekal, bayaran RM59,800 bagi peralatan yang tidak dibekalkan, serta RM144,536 bagi peralatan tidak mengikut spesifikasi.
Dalam masa sama, ujian teknikal seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Test (SAT) tidak dijalankan sebelum penerimaan aset, menyebabkan beberapa bot tidak dapat beroperasi dan perlu dibaiki dalam tempoh waranti dengan skop kerja bernilai RM173,075.
“Secara keseluruhan, penemuan ini menunjukkan keperluan Maritim Malaysia memperkukuh perancangan, pematuhan kewangan dan kawalan kontrak bagi memastikan perbelanjaan pembangunan digunakan dengan cekap serta memberi nilai terbaik kepada kerajaan,” menurut laporan itu.
Bagi tujuan penambahbaikan, LKAN mengesyorkan supaya Maritim Malaysia merancang dengan teliti kerja penyenggaraan kapal dan bot agar peruntukan digunakan secara optimum dan kerja disiapkan dalam tahun semasa bagi mengelakkan kenaikan kos.
Agensi itu juga disaran mengutip denda daripada syarikat yang lewat menyiapkan kerja, memastikan invois pembekal disertakan dalam tuntutan.
Maritim Malaysia juga disaran hanya meluluskan bayaran selepas pelaksanaan HAT dan SAT selaras dengan amalan kejuruteraan terbaik serta prosedur penerimaan aset bagi menjamin kualiti dan nilai wang kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















One Comment