LIMA’25: Reruai Maritim Malaysia tarik ribuan pengunjung
LANGKAWI – Tiga kanak-kanak menjadi tumpuan pengunjung hari terakhir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) apabila hadir dengan beruniform Maritim Malaysia.
Dua daripadanya memakai sut penerbang manakala seorang lagi berpakaian taktikal Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Maritim Malaysia sempena LIMA 2025, kemunculan kanak-kanak secara tidak langsung menanam semangat patriotisme dan minat pengunjung terhadap kerjaya maritim.
“Ini adalah bukti bahawa pameran LIMA bukan sahaja platform memperkenalkan teknologi terkini, malah ia turut berperanan sebagai medium mendekatkan generasi muda dengan profesyen keselamatan maritim. Semangat dan minat yang ditunjukkan amat membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, reruai Maritim Malaysia di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL) yang mempamerkan teknologi interaktif seperti realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) memberi pengalaman unik kepada pengunjung.
“Model miniatur aset Maritim Malaysia juga dipamerkan untuk menunjukkan kedudukan kapal peronda dan aset operasi di perairan negara,” katanya.
Beliau berkata, pameran yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 itu berjaya menarik kehadiran lebihi 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan interaktif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan penting Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan negara.
“Pendekatan teknologi interaktif yang diterapkan pada pameran kali ini membuka ruang komunikasi dua hala dengan masyarakat, membolehkan mereka lebih memahami cabaran serta tanggungjawab agensi kami. Kami komited untuk terus memperluaskan inisiatif ini dalam pameran akan datang.
“Kami akan kembali dengan pameran yang lebih berinovasi, interaktif dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi membentuk generasi patriotik yang celik teknologi dan berwawasan,” tambah beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














