HASiL keluar hampir 200,000 notis CP500 bernilai RM1.1 bilion
KUALA LUMPUR – Hampir 200,000 Notis Bayaran Ansuran Cukai (CP500) dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) kepada pembayar cukai dengan anggaran jumlah kutipan mencecah kira-kira RM1.1 bilion setakat Januari 2026.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), kerajaan mengambil perhatian terhadap rungutan pembayar cukai yang hanya mempunyai pendapatan penggajian tetapi turut menerima notis CP500.
“Semakan HASiL mendapati terdapat kes pelaporan kurang tepat dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), apabila sebahagian pendapatan penggajian dilaporkan sebagai pendapatan selain penggajian.
“Sehubungan itu, tindakan pengesanan serta pembatalan CP500 sedang dilaksanakan ke atas pembayar cukai yang terlibat,” jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Kenyataan tersebut sebagai menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung asas pengeluaran CP500, jumlah pembayar cukai terlibat serta anggaran kutipan hasil.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan kerajaan memutuskan untuk tidak mengenakan penalti sepanjang tahun 2026 kepada pembayar cukai yang mempunyai pendapatan selain penggajian sekiranya mereka tidak menjelaskan bayaran ansuran CP500 berkenaan.
Pembayar cukai turut dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat pendapatan dalam BNCP bagi Tahun Taksiran 2025 bagi mengelakkan penerimaan notis CP500 pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








