LHDN pelawa orang ramai sertai Seminar Percukaian Kebangsaan 2025
CYBERJAYA – Orang ramai dipelawa untuk berdaftar menyertai Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2025 bermula 14 Oktober depan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, seminar itu akan diadakan dalam lima siri yang bermula dengan sesi maya diikuti dengan sesi bersemuka di empat lokasi iaitu Johor (27 Okt), Pulau Pinang (29 Okt), Sarawak (5 Nov) dan Sabah (10 Nov).
“Sesi pendaftaran kini dibuka dan orang ramai boleh boleh mendaftarkan diri di portal berikut,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Seminar tersebut akan menghimpunkan pembentang dan ahli panel berpengalaman dalam bidang percukaian terdiri daripada pegawai kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia, HASiL, Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (M.A.T.A).
“Tiga topik akan menjadi tumpuan iaitu ‘Cadangan Belanjawan 2026’, ‘e-Invois: Persediaan Strategik Ke Arah Pematuhan Mandatori’ dan ‘Transformasi Digital Sistem Taksir Sendiri CKHT dan Duti Setem’.
“Seminar ini memberi peluang kepada orang ramai, khususnya pengamal percukaian, badan perakaunan dan profesional serta pembayar cukai untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan pindaan semua akta yang ditadbir LHDN lanjutan Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober 2025,” katanya lagi.
LHDN kemudiannya berkata, majikan yang berdaftar dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) boleh membuat tuntutan kos latihan peserta.
“Majikan berdaftar yang berminat hanya perlu memilih ‘Non-Registered Training Provider Details – Government’ di bawah Skim Bantuan Latihan (SBL) semasa membuat permohonan geran latihan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000/03-8911 1000 (untuk luar negara) dan Live Chat atau mengisi borang maklum balas di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






