BERITA SEMASA

OP Tombak fokus industri sawit Sabah

TAWAU – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melancarkan Operasi Pematuhan (OP) Tombak peringkat negeri Sabah dengan memberi tumpuan kepada industri kelapa sawit sebagai sektor berisiko tinggi dari aspek ketidakpatuhan cukai.

Operasi selama tiga hari bermula 23 hingga 25 April itu melibatkan lebih 170 pegawai LHDN dari seluruh Sabah yang turun padang mengendalikan 1,000 kes dikenal pasti di sekitar daerah Tawau.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin di Majlis Penutupan Op Tombak hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pelaksanaan operasi itu adalah usaha berterusan agensi itu untuk memastikan sistem percukaian negara kekal cekap, adil dan inklusif selaras aspirasi Malaysia Madani.

“Penutupan OP Tombak bukan penamat, sebaliknya satu permulaan kepada semangat baharu memperkasa pematuhan cukai.

“Kejayaan operasi itu perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang konsisten, berfokus dan berasaskan data.

“Penglibatan aktif semua pihak sangat penting bagi memastikan sistem percukaian negara lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam majlis penutup OP Tombak di Pejabat LHDN Tawau hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), Ahmad Khairuddin Abdullah; Ketua Pegawai Pematuhan Cukai, Mohamad Fauzi Saat; dan Pengarah Negeri LHDN Sabah, Datin Dayang Halimah Awang Ahmad.

Menurut kenyataan LHDN, operasi kali ini adalah siri kelima tahun ini dan kesinambungan daripada beberapa siri OP yang telah dijalankan sejak tahun lalu.

“Antara enam komponen utama diberi perhatian ialah audit cukai dan Potongan Cukai Bulanan (PCB), pematuhan strategik (siasatan), operasi verifikasi pembayar cukai, pungutan, duti setem dan guaman,” katanya lagi.

Tambahnya, beberapa sektor dikenal pasti berisiko tinggi termasuk industri perkhidmatan, ekonomi bayangan, industri kontraktor dan lain-lain sektor berpotensi dari sudut ketidakpatuhan percukaian.

LHDN yakin operasi itu akan memberi impak positif kepada pembesaran asas cukai, meningkatkan tahap pematuhan sukarela dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem percukaian negara yang adil, telus dan berintegriti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button