BISNES & EKONOMI

Pihak syarikat ada tempoh 11 bulan sebelum e-Invois dimandatori – LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berharap tempoh masa selama 11 bulan sebelum kerajaan memandatorikan penggunaan e-Invois mencukupi kepada syarikat yang terbabit.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, fasa pertama penggunaan e-Invois akan bermula pada 1 Ogos ini.

Katanya, ia melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta.

“Fasa kedua pula akan melibatkan
syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM 100 juta.

“Justeru, dengan garis masa ini, LHDN selaku pelaksana akan memastikan hasrat kerajaan untuk memandatorikan penggunaan e-Invois pada 1 Julai 2025 kepada semua peringkat pembayar cukai dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin mengadakan sesi dialog bersama dengan 42 persatuan perdagangan Malaysia yang melibatkan lebih daripada 110 orang ahli-ahli perniagaan.

Sesi ini merupakan salah satu agenda utama dalam membuka ruang kepada pihak persatuan dan LHDN untuk berinteraksi dengan lebih dekat dalam membincangkan kepentingan bersama khususnya perihal percukaian.

“Menyedari peranan penting yang dimainkan oleh pihak persatuan dalam mencorak kepesatan ekonomi menerusi transaksi urus niaga, langkah ini turut bertujuan untuk memastikan daya saing dan kelangsungan perniagaan dalam kalangan ahli berada pada tahap yang kompetitif,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan e-Invois boleh disalurkan menerusi e-mel myinvois@hasil.gov.my atau berhubung melalui Sandbox Sistem MyInvois dan Software Development Kit (SDK) atau menghubungi talian 03-8682 8000 atau e-mel sdkmyinvois@hasil.gov.my.

“LHDN sentiasa komited sebagai pemudah cara kepada pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara sekali gus memastikan tahap kesedaran dan pematuhan pembayar cukai sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

“Semoga sinergi dan juga konsep demand and supply antara LHDN dan pihak persatuan perdagangan ini bergerak seiring bagi memastikan keseimbangan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak demi kemakmuran negara,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button