BERITA SEMASA

HYTB lonjak kesedaran cukai dalam kalangan mahasiswa

KENINGAU – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus mengorak langkah memperkasa pendidikan percukaian negara menerusi program HASiL Your Tax Buddy (HYTB).

Program dengan anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) itu kini memasuki tahun kelima dan kekal relevan dalam usaha meningkatkan tahap literasi percukaian dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Menurut kenyataan LHDN, siri kedua HYTB 2025 yang berlangsung di IPGM Kampus Keningau baru-baru ini disertai lebih 100 mahasiswa dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda.

Majlis penutupan disempurnakan Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Shahrul Niza Bishahrin dan turut dihadiri Pengarah IPGM Kampus Keningau, Doti Asing serta Pengarah Negeri LHDN Sabah, Dayang Halimah Awang Ahmad.

Dalam ucapannya, Shahrul berkata, program berkenaan menyampaikan ilmu percukaian secara kreatif dan interaktif melalui dua segmen utama iaitu LHDN Pocket Talk dan LHDN Taxplorace yang direka khas bagi mendekati gaya pembelajaran generasi muda masa kini.

“HYTB bukan hanya platform pendidikan, sebaliknya memainkan peranan penting menyemai nilai tanggungjawab sivik dan memperkukuh pemahaman mahasiswa terhadap peranan cukai dalam pembangunan negara

“Program itu juga terbukti berkesan melahirkan generasi muda celik cukai, bertanggungjawab dan berintegriti,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha itu juga seiring dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh tahap pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan rakyat Malaysia.

LHDN berkata, budaya kesedaran cukai yang diterap melalui sistem pendidikan yang inklusif dan berterusan diyakini mampu membentuk masyarakat yang cakna terhadap tanggungjawab fiskal dan menyokong agenda pembangunan negara.

“Program seperti HYTB menjadi pemangkin kepada kesinambungan pendidikan percukaian dalam kalangan generasi muda, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau memberi maklum balas boleh menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau ‪+603-8911 1000‬ bagi pemanggil dari luar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button