Sabah terima PRIME, tingkatkan kecekapan operasi menyelamat
TAWAU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan secara rasmi Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) bagi negeri Sabah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan itu membolehkan operasi menyelamat ketika bencana dilaksanakan lebih pantas dan berkesan bersama agensi terlibat.
MCMC berkata, setakat ini, sebanyak dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala sebuah lagi unit untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.
“PRIME ialah sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan yang dibangunkan MCMC, dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi serta sokongan dron,” katanya.
Baca juga : PDRM, MCMC tumpaskan sindiket SMS palsu guna peralatan telekomunikasi haram

Sistem Prime itu dilancarkan sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi turut meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai yang mula beroperasi pada 27 September 2024.
Menara tersebut menggunakan teknologi 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan syarikat Redtone.
Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara itu menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk setempat.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Sementara itu, HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik.
“Aktiviti menarik seperti perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.
“Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
“Selain itu, program juga dimeriahkan dengan penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








