PRN Negeri Sembilan: Rekod pentadbiran Aminuddin jadi taruhan PH
JEMPOL – Rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 menjadi antara modal utama Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian pentadbiran Aminuddin dapat dilihat menerusi peningkatan kutipan zakat, hasil negeri serta kemasukan pelaburan baharu sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, perkembangan ekonomi negeri termasuk pembinaan pelabuhan baharu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Prestasi pentadbiran beliau sejak 2018 hingga sekarang merupakan prestasi yang sangat baik.
“Kita lihat kutipan zakat meningkat, kutipan hasil bagi negeri meningkat dan pelaburan masuk.
“Terkini ada satu pelabuhan baharu yang akan dibina dan pelaburan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon PH di pusat penamaan calon Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah Jempol hari ini.
Fahmi berkata, isu peluang pekerjaan antara perkara utama yang sering dibangkitkan terutama dalam kalangan anak muda di kawasan seperti Jempol dan Jeram Padang.
“Calon PH akan membawa aspirasi golongan muda menerusi peluang pekerjaan yang dijangka terhasil daripada perkembangan ekonomi negeri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyeru semua pihak supaya menjalankan kempen secara sihat sepanjang tempoh PRN dengan mengelakkan penyebaran fitnah, berita palsu serta isu berkaitan 3R.
Beliau berkata, liputan terhadap semua calon perlu diberikan secara baik selain kebajikan petugas media akan terus dipantau sepanjang tempoh kempen.
Bagi kawasan Jempol empat kerusi DUN menjadi tumpuan iaitu Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau.
Serting menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Fairuz Isa (PN), Yaakob Mahmood (PH) dan Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (BERSATU).
Palong pula menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan Datuk Mustapha Nagoor (BN), Zahin Zinal Abidin (PH) dan Rebin Birham (BERSATU).
Jeram Padang mencatatkan pertandingan empat penjuru antara Datuk Zaidy Abdul Kadir (BN), G Manivannan (PH), R Sri Sanjeevan (BERSATU) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).
Sementara itu, Bahau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Teo Kok Seong (PH) dan Chong Fui Ming (BN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







