POLITIK

PH gesa PDRM, SPR siasat kenyataan Asyraf Wajdi

SEREMBAN – Pasukan Peguam Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang didakwa menimbulkan persoalan daripada sudut perundangan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mewakili pasukan peguam berkenaan, Khairul Naim Rafidi berkata, pihaknya telah menerima beberapa salinan laporan polis yang dibuat oleh individu dan kumpulan masyarakat sivil berhubung kenyataan tersebut.

Menurut beliau, setakat petang ini, pihaknya menerima salinan laporan polis yang dibuat di Rembau, Shah Alam, Wangsa Maju dan Temerloh, selain beberapa lagi laporan daripada lokasi lain yang sedang diterima.

“Dalam situasi begini, apabila orang awam dari pelbagai lokasi tampil membuat laporan polis secara berasingan, ia menunjukkan bahawa isu ini tidak lagi terhenti setakat perdebatan politik semata-mata.

“Sebaliknya, ia telah menimbulkan persoalan undang-undang yang wajar diberikan perhatian dan penelitian oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Khairul Naim berkata, hasil penelitian pasukan peguam mendapati terdapat dua persoalan undang-undang yang wajar disiasat oleh pihak berkuasa.

Katanya, persoalan pertama ialah sama ada kenyataan tersebut memberi gambaran yang mengelirukan kepada masyarakat mengenai proses pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Persoalan kedua ialah sama ada kenyataan tersebut mempunyai implikasi di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, politik tidak seharusnya dibina dengan memainkan sentimen perkauman, lebih-lebih lagi apabila kedudukan undang-undang berhubung pelantikan Menteri Besar telah diperuntukkan dengan jelas dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, kenyataan yang berpotensi menimbulkan salah faham terhadap kedudukan undang-undang atau mengaitkan kaum sebagai faktor politik boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi.

“Perkara yang telah ditetapkan oleh undang-undang tidak boleh dijadikan retorik politik.

“Sebaliknya, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, khususnya Negeri Sembilan hendaklah dihormati, ditafsirkan dan dipelihara mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa PDRM dan SPR menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan tanpa pilih kasih.

“Sekiranya siasatan mendapati terdapat asas di sisi undang-undang, tindakan sewajarnya hendaklah diambil. Sekiranya tiada asas, perkara ini juga perlu dimaklumkan secara telus kerana itulah yang dituntut oleh prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Khairul Naim turut menegaskan bahawa pendirian pasukan peguam itu bukan bermotifkan kepentingan politik, sebaliknya mempertahankan prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Mengulas perkembangan laporan polis yang diterima, beliau berkata pihaknya setakat ini menerima kira-kira lima laporan polis dan jumlah itu dijangka bertambah.

“Saya percaya pihak polis sedang menjalankan siasatan dan seperti yang kami nyatakan, kita mohon siasatan dapat dilaksanakan secara tuntas, adil dan profesional. Selebihnya, kita serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button