Danish Nazran ‘all-out’ dekati pengundi muda dalam kempen fasa kedua
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad kini mempergiatkan kempen fasa kedua dengan memberi tumpuan penuh untuk meraih sokongan pengundi muda yang dilihat mampu menjadi penentu keputusan pilihan raya di kawasan itu.
Menurut beliau, kempen yang dijalankan setakat ini telah mencapai kira-kira 70 hingga 80 peratus apabila pasukannya berjaya memasuki hampir semua kampung di DUN berkenaan.
Katanya, meskipun hanya kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan pengundi terdiri daripada golongan muda, kelompok itu tetap menjadi antara fokus utama sepanjang baki tempoh berkempen.
“Dalam fasa kedua kempen ini, saya akan cuba all out untuk tarik pengundi muda. Tapi kita juga tidak boleh nafikan komposisi pengundi lain daripada segi kaum dan umur.
“Jadi dalam usaha itu, kita kena berhati-hati menentukan pendekatan kempen. Jangan kita keluarkan isu-isu yang boleh menyebabkan kempen kita jadi tidak baik,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Mengulas mengenai pengundi atas pagar, Danish berkata, beliau menghormati hak setiap pengundi untuk membuat penilaian terhadap calon yang bertanding.
“Bagi saya itu hak mereka sebagai pengundi untuk menilai saya sebagai calon muda. Apa yang penting, apabila diberi amanah untuk bertanding, saya perlu melakukan yang terbaik untuk kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, sebagai calon muda, antara keutamaannya ialah membawa agenda yang memberi manfaat kepada generasi muda, khususnya memandangkan DUN Chembong mempunyai beberapa institusi pendidikan.

“Saya mahu membawa perkara yang berkaitan kebajikan generasi muda. Kemahiran yang mereka ada boleh kita manfaatkan untuk terus mengembangkan Chembong,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perjuangan untuk golongan muda tidak bermakna mengabaikan keperluan kumpulan lain.
“Kita faham kawasan ini mempunyai ramai warga berusia. Jadi, dalam saya membawa suara anak muda, saya juga tidak boleh meninggalkan suara golongan lain,” katanya.
Mengulas cabaran yang dihadapi, Danish mengakui beliau perlu bekerja lebih keras memandangkan berdepan penyandang berpengalaman yang sudah memasuki penggal kelima.
“Sebagai calon muda, cabarannya sangat besar. Saya perlu bekerja lebih kuat dan berkempen dengan lebih bersungguh-sungguh untuk menunjukkan bahawa saya mampu memberikan saingan sengit,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, Danish berdepan pertandingan dua penjuru menentang penyandang DUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris daripada Barisan Nasional (BN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








