PRN Negeri Sembilan: BERSATU masih guna platform PN
CYBERJAYA – BERSATU Negeri Sembilan akan tetap bertanding menggunakan platform Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang walaupun rakan gabungannya, PAS memutuskan kerjasama politik dengan parti berkenaan.
Ketuanya, Hanifah Abu Baker berkata, langkah sedemikian adalah kerana kerusi yang dimenangi BERSATU pada PRN lalu adalah di atas tiket PN, lapor Utusan Malaysia.
“Sokongan mereka ini sepatutnya diberi perhatian oleh PN dan menjadi pertimbangan kepada gabungan ini untuk mengharungi PRN tidak lama lagi,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, keputusan PAS untuk memutuskan kerjasaama dengan BERSATU namun pada masa yang sama masih berada dalam PN adalah agak mengelirukan.
Tindakan PAS itu, katanya, turut mengecewakan harapan pengundi yang melihat PN sebagai satu gabungan parti politik yang mampu menjadi kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.
“Terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa gabungan ini semakin mendapat sokongan daripada setiap peringkat masyarakat dan kepercayaan ini tidak sepatutnya disia-siakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata parti itu belum membuat sebarang ketetapan sama ada mahu bertanding menggunakan logo PN atau parti itu sendiri.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan Jumaat lalu, dua bulan selepas 14 ADUN UMNO menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun lalu menarik balik sokongan terhadap pentadbirannya.
Pada PRN yang berlangsung pada 2023, PN memenangi lima kerusi DUN menerusi PAS (tiga kerusi) dan dua lagi daripada BERSATU.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








