PRN Negeri Sembilan: Polis kenal pasti 26 lokasi ‘hotspot’
SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengenal pasti 26 lokasi panas (hotspot) dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 11 lokasi berada di daerah Seremban, diikuti lima masing-masing di Jempol dan Tampin, tiga di Nilai dan dua di Rembau.
Tambahnya, lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan penilaian rekod pilihan raya terdahulu serta risikan dan perkembangan semasa.
Sehubungan itu, katanya pihak polis akan melaksanakan pemantauan rapi sepanjang tempoh penamaan calon, berkempen, pengundian hingga pasca pilihan raya di lokasi yang telah dikenal pasti.
“Anggota daripada kontinjen Negeri Sembilan bersama bantuan polis dari kontinjen luar akan ditempatkan di kawasan hotspot bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terkawal,” katanya hari ini.
Menurutnya, polis turut mengenal pasti 19 lokasi titik pencetus (flashpoint), terutama di Seremban, Nilai dan Port Dickson, yang berpotensi berlaku ketegangan atau insiden sekiranya timbul isu tertentu sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, seramai 4,800 pegawai dan anggota kontinjen itu akan digerakkan sepanjang PRN, selain menerima bantuan 1,373 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman bagi memperkukuh kawalan keselamatan terutama di pusat mengundi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















