e-Invois bukan faktor tunggal kekalahan PH, tetapi antara isu ekonomi yang mempengaruhi sentimen pengundi
SEREMBAN – Pelaksanaan sistem e-Invois mungkin menjadi antara isu ekonomi yang mempengaruhi sentimen sebahagian pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun ia tidak boleh dianggap sebagai faktor tunggal atau punca dominan tanpa disokong data kajian pasca pilihan raya.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, terdapat asas munasabah mengapa isu e-Invois menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah kelompok, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perniagaan keluarga serta usahawan luar bandar dan separa bandar.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem berkenaan berpotensi memberi kesan kepada golongan terbabit dari segi kos pematuhan, perubahan prosedur kerja serta keperluan menyesuaikan operasi perniagaan dengan sistem digital.

“Impaknya mungkin lebih jelas kerana Negeri Sembilan mempunyai sejumlah individu yang terlibat dalam ekosistem PMKS, perniagaan keluarga dan usahawan luar bandar serta separa bandar.
“Pelaksanaan ini boleh memberi kesan apabila margin keuntungan semakin kecil, kos pematuhan meningkat dan sebahagian peniaga perlu melalui prosedur pelaksanaan yang lebih rumit,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Bagaimanapun, beliau berkata, isu e-Invois perlu dilihat sebagai salah satu daripada beberapa faktor ekonomi dan psikologi pengundi yang saling berkait, bukannya satu-satunya penyebab perubahan sokongan politik.
Katanya, faktor lain seperti kos sara hidup, harga barang, peluang pekerjaan berkualiti, manfaat pembangunan ekonomi antara daerah serta tahap keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi pengundi.
Menurut beliau, walaupun e-Invois merupakan sebahagian daripada agenda pendigitalan sistem percukaian bagi meningkatkan ketelusan, mengurangkan ketirisan hasil negara dan memperkukuhkan tadbir urus fiskal, penerimaan masyarakat banyak bergantung kepada cara dasar itu dilaksanakan.
“Objektif sesuatu dasar bukan sahaja perlu jelas, tetapi cara pelaksanaannya juga penting.
“Jika masyarakat merasakan sesuatu dasar memberi tekanan tambahan tanpa memahami manfaat jangka panjang, ia boleh mempengaruhi persepsi mereka,” katanya.
Mengulas mengenai sentimen komuniti perniagaan khususnya PMKS, Dr Umi Hamidaton berkata, kebimbangan utama bukan semata-mata terhadap konsep e-Invois, tetapi lebih kepada kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan penerangan kepada rakyat bahawa e-Invois bukanlah cukai baharu, sebaliknya mekanisme dokumentasi transaksi yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem percukaian sedia ada.
“Kerajaan perlu menjelaskan bahawa e-Invois bukan cukai tambahan. Ia adalah satu sistem untuk memastikan transaksi direkodkan dengan lebih baik dan meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai,” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan agar pelaksanaan e-Invois dilakukan secara berperingkat berdasarkan kapasiti setiap kategori perniagaan kerana pendekatan seragam kepada semua pihak boleh mewujudkan beban khususnya kepada perniagaan kecil.
Selain itu, kerajaan juga perlu menunjukkan manfaat yang jelas hasil peningkatan kecekapan kutipan negara melalui penambahbaikan perkhidmatan awam, bantuan bersasar, pembangunan infrastruktur serta usaha mengurangkan ketirisan.
“Langkah ini penting bagi membina semula keyakinan rakyat terhadap dasar ekonomi kerajaan dan memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan dilihat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, pada PRN Negeri Sembilan yang berlangsung 1 Ogos lalu, kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan pentadbiran apabila gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing meraih 18 dan 7 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








