PRN Negeri Sembilan: PN lulus rundingan agihan kerusi, kekal guna lambang gabungan
KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan antara parti-parti komponen gabungan itu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan hari ini.
Menurut beliau, rundingan agihan kerusi membabitkan PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Wawasan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Majlis Tertinggi PN bersetuju meluluskan rundingan pembahagian kerusi DUN Negeri Sembilan antara parti-parti anggota PN.
“Mesyuarat juga bersetuju membenarkan penggunaan lambang PN oleh semua calon gabungan dalam PRN Negeri Sembilan seperti yang telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menjelaskan segala proses perbincangan dan libat urus di peringkat awal dengan mana-mana pihak telah dijalankan dengan pengetahuan serta kebenaran beliau selaku Pengerusi PN.
Beliau berkata, semua perkara berkenaan telah dimuktamadkan dan mendapat kelulusan Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat hari ini.
Kenyataan itu turut merujuk kepada kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berhubung proses rundingan yang dijalankan sebelum ini.
“Penyertaan sejumlah PN pada PRN Negeri Sembilan yang akan diumumkan hari ini adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan dan Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








