POLITIK

PRN Negeri Sembilan: PH negeri selesai agih kerusi

SEREMBAN – Parti komponen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sudah selesai mengagihkan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, pada 1 Ogos depan.

Menteri Besar merangkap Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PH akan bertanding secara solo di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PKR akan bertanding di 16 kerusi diikuti DAP membabitkan 11 kerusi manakala baki sembilan lagi kerusi ditandingi AMANAH.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR mengakui berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang dilaksanakan dan dicapai dengan baik hasil kerjasama serta muafakat dalam kalangan pemimpin PH.

“Alhamdulillah, rundingan pembahagian kerusi DUN telah dimuktamadkan. Ini paling pantas dan paling mudah dari segi pembahagian kerusi ketika hendak menghadapi pilihan raya sepanjang pimpinan saya.

“Tiga parti memahami dan (pimpinan) mereka yakin daripada 36 DUN yang dipertandingkan, PKR akan bertanding di 16 DUN, DAP di 11 DUN dan AMANAH sembilan DUN.

“Ini adalah satu kesepakatan paling pantas dan paling mudah yang pernah kita lakukan dalam pembahagian kerusi DUN,” katanya ketika selepas Majlis Pelancaran Kempen Jentera PRN PH Negeri Sembilan, di sini malam tadi.

Pelancaran jentera itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH pusat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mengulas mengenai calon PKR, Aminuddin berkata, perkara itu sedang dimuktamadkan dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Insya Allah urusan calon (PKR) sedang dimuktamadkan dalam masa terdekat ini. Nama-nama calon sudah diperolehi dan kita akan final kan… namun bagi parti lain, ia akan ditentukan oleh pemimpin masing-masing,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button