Banduan maut dipercayai dipukul 3 penghuni Penjara Marang
MARANG – Seorang banduan di Penjara Marang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat dipukul tiga banduan lain, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan, pihaknya menerima laporan pukul 12.31 tengah hari semalam daripada seorang wadar penjara yang memaklumkan seorang banduan lelaki berusia 38 tahun didakwa dipukul banduan lain.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Merchang untuk mendapatkan rawatan.
Beliau bagaimanapun berkata, sebaik tiba di KK Merchang, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Jasad mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian ialah akibat limpa koyak kerana hentakan objek tumpul seperti tumbukan atau tendangan,” katanya.
Siasatan awal mendapati, insiden tersebut dipercayai berpunca daripada hutang lama dan perasaan tidak puas hati.
Susulan kejadian, Mohd Sofian berkata, seorang banduan berusia 21 tahun dan dua lagi berumur 35 tahun dikenal pasti sebagai suspek yang disyaki menyerang serta memukul mangsa.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






