BERITA SEMASAPOLITIK

AMK persoal desakan PN, UMNO tubuh RCI baharu Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan bagi menyiasat semula pengurusan Tabung Haji (TH) memandangkan laporan sedia ada telah melalui proses siasatan yang panjang sebelum didedahkan kepada umum.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan pada 29 Julai lalu bukan hasil daripada proses yang dimulakan Kerajaan MADANI, sebaliknya siasatan itu bermula ketika pihak yang kini mendesak RCI baharu berada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, RCI berkenaan bukan alat untuk mencari keputusan yang memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya diwujudkan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta, dokumen dan keterangan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran desakan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO supaya RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat semula isu pengurusan institusi berkenaan.

“Apabila dapatan RCI itu tidak memihak kepada naratif politik mereka, tiba-tiba mereka mahu RCI baharu. Apa sebenarnya yang mereka mahu? Adakah setiap kali sesuatu keputusan siasatan tidak memenuhi kehendak politik mereka, maka perlu ditubuhkan RCI sekali lagi sehingga keluar keputusan yang mereka suka?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : RCI Tabung Haji: Lawan dengan fakta, bukan keluar dewan – Zaliha kepada pembangkang

Muhammad Kamil berkata sekiranya terdapat kesilapan dalam laporan RCI berkenaan, pihak terbabit seharusnya mengemukakan bukti dan bukannya menolak dapatan hanya kerana ia tidak selari dengan kepentingan politik sendiri.

“Kalau benar ada bukti baharu, bentangkan. Kalau ada percanggahan fakta, tunjukkan. Kalau ada kesalahan dalam proses siasatan, jelaskan secara terbuka. Itulah cara sebuah demokrasi yang matang berfungsi, bukan dengan meminta RCI diulang semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Beliau turut membangkitkan tindakan wakil rakyat PN yang memilih untuk keluar dewan ketika laporan RCI tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat pada 12 Ogos lepas sedangkan mereka diberi ruang untuk mendengar dan meneliti dapatan siasatan itu.

“Hari ini, apabila dapatan RCI tidak menyebelahi mereka, mereka pula mendesak supaya RCI baharu ditubuhkan. Ini menimbulkan persoalan besar adakah mereka benar-benar mahu mencari kebenaran atau mereka hanya mahu mencari keputusan yang sesuai dengan naratif politik mereka,” katanya.

Muhammad Kamil juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan TH sebagai bahan permainan politik demi mempertahankan kepentingan pihak tertentu memandangkan institusi itu merupakan amanah jutaan pendeposit.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI tidak takut kepada kebenaran dan sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil.

“Saya menyeru PN dan UMNO supaya berhenti mempermainkan institusi negara untuk kepentingan politik. Kalau benar mahu mempertahankan TH, pertahankanlah dengan fakta, bukti dan hujah yang kukuh,” katanya.

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button