Tanpa pendaftaran manual, pendeposit cukup RM15,000 automatik layak giliran haji mulai 2029
KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mempunyai baki simpanan minimum RM15,000 akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran menunaikan haji, tanpa perlu melalui proses pendaftaran secara manual.
Menerusi sistem baharu itu, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik bermula 1 Januari 2029, berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum berkenaan.
Langkah itu antara ciri utama Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang diperkenalkan TH semalam bertujuan membantu pendeposit membuat persediaan menunaikan ibadah haji secara lebih mudah, sistematik dan terancang.
Menurut TH, sistem berkenaan akan menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran haji sedia ada, namun prinsip ‘first-come, first-served’ kekal dipertahankan.
Bagi pendeposit yang sudah berdaftar, mereka diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai baki simpanan minimum RM15,000.
“Bermula 1 Januari 2029, giliran Haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000.
“Pendekatan ini mewujudkan proses yang lebih mudah, adil dan lancar, di samping mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten,” kata TH dalam kenyataan.
TH berkata, pelaksanaan langkah itu turut mengambil kira syor ‘Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI)’ bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan pengurusan giliran haji yang lebih telus, adil dan mampan.
Menurutnya, sebelum syarat baki minimum RM15,000 diperkenalkan pada 2025, hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran haji secara purata terpaksa menangguhkan hasrat mereka.
Bagaimanapun, kadar penangguhan itu menurun kepada ’18 peratus’ selepas syarat baki minimum RM15,000 diperkenalkan.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya mengambil kira maklum balas pendeposit dari seluruh negara sebelum memperkenalkan pelan berkenaan.
“Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun.
“Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








